Friday, October 10, 2014

Snek dan Gula-Gula Kepada Kanak-kanak


Kanak-kanak sememangnya pantang melihat snek dan gula-gula. Bentuk gula-gula yang berwarna-warni amat menarik perhatian kanak-kanak. Mereka menjadi teruja untuk merasai rasa gula-gula yang manis dan  warnanya yang terang itu.

Jarang sekali kanak-kanak menolak apabila diberikan gula-gula kecuali dia memang tidak pernah merasai kemanisan makanan tersebut seumur hidupnya.  Bagaimanapun gula-gula sering menjadi bahan pertengkaran ibu bapa dengan anak-anak.

Sebenarnya peraturan makan snek dan gula-gula bergantung kepada ibu bapa sendiri. Adalah tidak adil dan tidak munasabah sekiranya anda menghalang si kecil daripada makan gula-gula sama sekali kerana ia hanya akan membuatkan anak anda semakin teringin merasa makanan tersebut.

Bagaimanapun dari segi nutrisi pemakanan, gula-gula hanya membekalkan sedikit nutrien selain kalori dan merosakkan gigi anak anda. Oleh itu seeloknya kawal kegemaran anak anda terhadap benda manis dengan menetapkan makanan bergula pada kuantiti yang minimum.

Mungkin cara berikut boleh membantu anda menetapkan peraturan anak-anak makan snek dan gula-gula.

*Bekalkan buah-buahan atau dadih tanpa gula sebagai puding untuk kebanyakan waktu makannya. Keju juga baik kerana bahan ini meneutralkan asid yang memusnahkan enamel gigi yang terbentuk di dalam mulut.

*Apabila anda membenarkan anak makan gula-gula, beri pada akhir waktu makan dan bukan di antara waktu makan.
*Pilih gula-gula yang boleh dimakand dengan cepat, bukan jenis yang dihisap atau dikunyah untuk masa yang lama.
*Beri jus buah-buahan yang tulen dan dicairkan berbanding minuman cordial. Beri hanya pada waktu makan. Berikan susu atau air masak sebagai minuman pada masa lain.
*Jangan jadikan gula-gula sebagai cara utama anda memberi ganjaran atau menghukum anak. Bahan ini akan menjadi terlalu bernilai baginya, oleh itu ia lebih sukar dikawal.
*Jadikan amalan menggosok gigi dengan ubat gigi berflorida sebagai rutin harian sekurang-kurangnya selepas bersarapan dan sebelum tidur.     

Sumber : PaMa

No comments:

Post a Comment